Friday, June 12, 2009

usah pertikai hak Melayu!!!

Usah pertikai hak Melayu
Oleh Mohd Feroz Abu Bakarbhnews@bharian.com.my

Gerakan sentuh keistimewaan Bumiputera langgar Perlembagaan: Sultan Azlan Shah

IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah sebarang gerakan mempertikaikan hak orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak, bukan saja melanggar Perlembagaan Negara dan negeri, malah turut mempersoalkan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Baginda bertitah, Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kepentingan orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.

Titah baginda, Perkara 27B (2) Perlembagaan Negeri Perak juga memperuntukkan tanggungjawab yang sama kepada Sultan dan Raja Pemerintah di Perak. "Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang sudah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima... semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara dirunding. "Persetujuan ini sudah dicapai antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu.
"Oleh itu, apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikai perkara ini bukan saja sudah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan negeri, malah turut mempertikai kedaulatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan Raja-raja Melayu," titah Raja Azlan.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Wacana Ilmu bertema
Menjana Kemaslahatan Ummah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sempena ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-81 di sini, semalam. Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Sultan Azlan bertitah, pemimpin negara mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas yang menjadi tunjang kedaulatan negara yang merdeka serta asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmoni.

"Asas-asas ini dipersetujui ketika negara menggubal 'Perlembagaan Merdeka'. Penyimpangan daripada semangat asal yang sudah dicapai tentu akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada ketidaktentuan. "Pada masa sama, asas persetujuan itu jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan hingga ada kaum merasa diri mereka tertindas. "Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah menjadi tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan kaum lain yang sah di sisi undang-undang turut dilindungi.

"Amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku. Setiap warga negara yang sah adalah rakyat baginda yang harus diberi keadilan yang setimpal," titah baginda. Sultan Azlan bertitah, manusia biasanya dapat berfikir dengan rasional jika asas pertimbangan didasarkan kepada ilmu pada sesuatu peristiwa yang ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta. Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada sentimen dan emosi yang membezakan apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku, titah baginda.

"Lima puluh tahun lalu ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan profesional, kesopanan dan kesusilaan adalah sebahagian budaya masyarakat kita. "(Walaupun kini) negara sudah memiliki bilangan cerdik pandai dan profesional yang jauh lebih ramai, namun ia mula memperlihatkan kelunturan sifat kesopanan dan kesusilaan yang menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara," titah Raja Azlan. Baginda bertitah, ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun serta nilai sosial masyarakat.


teks dr berita harian online....

No comments:

Post a Comment